Selangor ialah negeri dengan bilangan penduduk terbanyak di Malaysia. Selangor juga merupakan negeri termaju dan terkaya di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan diisytiharkan sebagai negeri maju pada 27 Ogos 2005.
Etimologi
Asal nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini. Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil). [2], [3]Sejarah
Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.